Senin, 29 Oktober 2012

HUKUM TALAQ


1)      PENGERTIAN TALAQ
Dari segi bahasa Arab bererti : melepaskan ikatan.
Dari segi istilah syarak : melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq atau sebagainya.
2)      DALIL-DALIL DISYARIATKAN TALAQ
1.            Firman Allah :
Ertinya : Talaq itu dua kali, sesudah itu suami diberi kelonggaran untuk rujuk semula dengan baik atau (kalau tidak ingin rujuk semula) hendaklah dilepaskan dengan baik.
(Surah Al-Baqarah : ayat 229)
2.   Hadith  Rasulullah SAW :
Ertinya :  “Tidak ada sesuatu  perkara yang halal yang paling dibenci oleh Allah selain dari talaq.”
(Riwayat Abu Daud)
3)      HIKMAH TALAQ
Di antara tujuan-tujuan perkahwinan ialah :
1.  Untuk hidup di dalam pergaulan yang sempurna.
2.  Sebagai satu jalan yang paling mulia untuk  mengatur  rumahtangga  dan keturunan.
3.  Sebagai satu jalan yang amat teguh guna memperkukuhkan tali tersaudaraan di antara keluarga suami dengan kaum kerabat isteri, yang mana pertalian it akan menjadi satu jalan yang membawa kepada  tolong menolong antara satu sama lain.
Sekiranya dalam pergaulan di antara suami isteri itu tidak dapat menyampaikan tujuan tersebut bahkan sebaliknya menimbulkan perpecahan di antara  keduanya yang menyebabkan tidak ada  persepakatan dalam hidup di antara keduanya, maka dengan keadilan  Allah SWT memberi satu jalan keluar dari segala kesukaran itu, iaitu perceraian.  Mudah-mudahan dengan adanya jalan ini akan menimbulkan ketenteraman kepada ketua kedua-dua belah pihak dan supaya kedua-duanya (suami isteri) dapat  mencari pasangan yang sesuai dan secucuk dengannya.
Lebih-lebih lagi, sekiranya berlaku perselisihan di antara suami isteri itu tidak ada jalan lain untuk mengatasinya selain dari perceraiannya, setelah berikhtiar untuk mencari jalan bagi mendamaikan kedua-duanya tetapi menemui jalan buntu, oleh itu dengan adanya hukum bercerai ini, maka segala kerumitan itu akan dapat diatasi.
4)      HUKUM TALAQ
Memandangkan kepada kemuslihatan atau kemudharatan di antara suami isteri, maka hukum talaq terbahagi kepada empat:
1.     Wajib
Iaitu apabila terjadi perselisihan di antara suami isteri, sedangkan kedua-dua hakim (dari pihak suami dan isteri) yang menghakimkan perkara itu berpendapat mereka perlu bercerai.
2.    Sunat
Apabila suami tidak sanggup lagi menanggung nafkah isteri dengan cukup, atau pun isteri tidak menjaga kehormatan dirinya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Ertinya : Seseorang lelaki datang menemui Nabi SAW lalu berkata: “Bahawasanya isteriku tidak menolak akan tangan orang yang menyentuhnya,” jawab Nabi SAW, “hendaklah engkau ceraikan isteri engkau itu.”
3.      haram (bidaah):
Dalam dua keadaan :
a.               Menjatuhkan talaq di waktu isteri dalam  haid.
b.   Menjatuhkan talaq sewaktu isteri suci yang telah disetubuhinya di waktu  suci itu.  Sepatutnya kalau  hendak diceraikan jangan disetubuhi lagi selepas isteri suci daripada haid.
4.      Makruh
Iaitu jika menceraikan isteri yang baik dan tidak terdapat apa-apa kesalahan.

5)      RUKUN TALAQ
Rukun ada tiga perkara :
1.       Yang menjatuhkan talaq (suami).
2.       Isteri yang kena talaq.
3.       Lafaz talaq.
6)      SYARAT-SYARAT SUAMI YANG MENJATUHKAN TALAQ
1.     Baligh – tidak sah talaq dari suami yang masih kanak-kanak.
2.     Berakal – tidak sah talaq dari suami yang gila atau yang hilang akal kecuali yang disengajakan, maka jatuhlah talaqnya.
3.     Dengan kehendak sendiri – tidak sah talaq dengan paksaan sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
Ertinya :  Tidak sah talaq dengan paksaan.
7)      SYARAT-SYARAT SAH PAKSAAN
1.   Orang yang memaksa itu berkuasa untuk melaksanakan  segala  ugutan secara zalim.
2.   Yang kena paksa itu lemah atau tidak berdaya untuk mempertahankan diri samada dengan lari atau sebagainya.
3.   Dengan sengaja – tidak sah talaq dengan  tidak sengaja (tidak berniat) seperti terlanjur lidah bagi orang yang latah, atau guru yang mengucapkannya untuk mengajar murid-muridnya.
8)      LAFAZ TALAQ
Cara melafazkan talaq terbahagi kepada dua :
1.  Lafaz yang terang-terang menunjukkan talaq (sareh) iaitu lafaz yang digunakan itu adalah talaq atau cerai, seperti kata suami : “aku talaq atau ceraikan engkau”.
2.  Lafaz  sindirian (kinayah) iaitu lafaz-lafaz yang mengandungi makna talaq dan makna yang lain berdasarkan kepada niat orang yang melafazkan seperti kata suami : “berpisah kita, baliklah awak ke rumah ibu bapa awak” dan sebagainya.
Lafaz kinayah ini memerlukan niat untuk sah talaq itu, ertinya suami yang mengucapkan kata-kata seperti itu mestilah meniatkan yang ia bermaksud dengan kata-katanya itu sebagai talaq:
9)      BEBERAPA MASALAH TALAQ
1.  Tidak sah talaq kecuali dengan berlafaz samada lafaz itu lafaz sareh atau kinayah.
2.  Lafaz  talaq disyaratkan disebut dengan jelas sekadar terdengar kepada dirinya sendiri maka tidak sah talaq sekiranya dilafazkan dengan suara rendah sehingga tidak kedengaran kepada diri sendiri.
3.  Talaq dikira gugur walaupun dilafazkan tidak di hadapan isteri.
4.  Talaq dikira gugur walaupun tidak di hadapan saksi.
5.   Untuk jatuhnya  talaq disyaratkan suami itu orang yang berakal, bukan gila dan bukan kanak-kanak.
6.  Talaq tidak boleh digurau sendakan.  Andainya seorang suami memainkan perkataan talaq terhadap isteri samada di dalam keadaan biasa atau dalam satu-satu lakonan drama, sandiwara dan sebagainya, maka gugur talaq isterinya.  Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Ertinya : Tiga perkara yang disungguh-sungguhkan menjadi sungguh dan dipermainkan-mainkan pun menjadi sungguh iaitu nikah, talaq dan rujuk.
10)    TALAQ SUNNI DAN BID’I
1.   Talaq Sunni :
Iaitu  isteri yang pernah disetubuhi kemudian dijatuhkan talaq ke atasnya ketika sedang suci dari haid dan tidak pula disetubuhi dalam masa sucinya itu, kerana demikian akan mempercepatkan selesai idahnya.  Firman Allah :
Ertinya : Apabila kamu mentalaq perempuan ( isteri), maka hendaklah kamu talaq pada yang mereka boleh terus masuk dalam kitaran idahnya, waktu tersebut ialah waktu suci.
Hadith riwayat Ibn Umar R.A. :
Ertinya : Bahasanya tatkala Ibn Umar mengugurkan talaq ke atas isterinya yang sedang dalam haid, maka Umar memberitahu hal ini kepada Nabi SAW, lalu Nabi menyuruh Umar memberitahu anaknya (Ibn Umar) supaya dirujuknya semula, kemudian diceraikan apabila sudah suci.
Hadith  di atas menunjukkan bahawa masa menggugurkan talaq ke atas isteri hendaklah ketika suci yang tidak disetubuhi dan sunat dirujuk semula jika menggugurkan talaq ketika haid.
2.   Talaq Bid’I :
Iaitu menggugurkan talaq ke atas isteri yang pernah disetubuhi di waktu ia sedang dalam haid atau di waktu suci tetapi disetubuhi di dalam suci itu.  Talaq ini ditegah, kerana menggugurkan talaq di waktu hadi menyebabkan panjangnya masa idah dan menggugurkan talaq di waktu suci yang disetubuhi mengakibatkan penyesalan  bila didapati isteri itu hamil selepas itu.
11)    TALAQ YANG BUKAN  SUNNI DAN BID’I
1.   Menggugurkan  talaq ke atas isteri yang masih kecil dan belum haid.
2.   Menggugurkan talaq ke atas isterinya yang telah tua yang putus sama sekali daripada haid.
3.   Menggugurkan talaq ke atas isteri yang sedang hamil.
4.   Isteri yang menebus talaq (khulu’) tetapi belum pernah disetubuhi, kerana ia tidak perlu idah.
Keempat-empat orang itu harus dijatuhkan talaqnya pada bila-bila masa sahaja.
12)    BILANGAN TALAQ
Bagi suami yang merdeka (bukan hamba) berhak menggugurkan talaq terhadap isterinya  dari talaq satu hingga tiga.  Pada talaq satu atau dua, suami boleh dirujuk kembali sebelum habis iddahnya, jika telah habis iddahnya, suami masih boleh berkahwin semula dengan  akad yang baru.
Firman Allah :
Ertinya :               Talaq itu dua kali sesudah itu suami dibenarkan merujuk kembali dengan baik atau melepaskannya dengan baik (jika tidak ingin kembali).
(Surah Al-Baqarah : ayat 229)

Adapun talaq tiga, tidak boleh rujuk kembali dan tidak boleh berkahwin semula melainkan  perempuan (isteri) itu telah berkahwin dengan lelaki yang lain dan disetubuhi kemudian diceraikan pula oleh suami yang kedua itu serta selesai idahnya.
Ertinya :  Maka jika diceraikan oleh suami yang kedua tidaklah ada halangan bagi yang pertama kembali kepada bekas isterinya itu jika kedua-duanya bersangkutan baik untuk aturan Allah.
(Surah Al-Baqarah : ayat  230)
Dari itu terbuktilah bahawa suami yang pertama boleh berkahwin semula dengan bekas isterinya itu setelah itu diceraikan oleh suami yang kedua (selepas selesai idahnya) dengan syarat suami yang  kedua itu mestilah bersetubuh dengan isterinya itu.  Oleh itu tidaklah  memadai berkahwin sahaja kemudian diceraikan tanpa disetubuhi.
Sayugia diingat perkahwinan yang kedua ini hendaklah benar-benar dengan kemahuan lelaki dan perempuan itu, bukan kerana hendak membolehkan semula suami pertama itu mengahwini bekas isterinya sebagaimana yang banyak berlaku di zaman sekarang.  Perbuatan seperti ini adalah berlawanan dengan ajaran Islam dan Allah memurkai perbuatan ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Ertinya :Rasulullah SAW telah mengutuk oran gyang menjadi muhallil (cina buta) begitu juga orang yang menyuruh membuat cina buta (lelaki yang pertama).
(Riwayat Ahmad Nasai dan Tarmidzi)

13)    CARA MENJATUHKAN TALAQ TIGA
1.      Menjatuhkan talaq itu tiga kali pada masa yang berlainan seperti : suami menjatuhkan talaq satu terhadap isterinya.  Kemudian dalam masa idah  ditalaqnya satu lagi kemudian dalam masa idah kedua ditalaqnya lagi dengan talaq satu.
2.      Suami menjatuhkan talaq satu terhadap isterinya kemudian selepas selesai idah dikahwininya semula kemudian ditalaqnya lagi, setelah selesai idah dikahwininya lagi, kemudian ditalaqnya lagi bagi kali yang ketiganya.
Kedua-dua cara tersebut ulamak berpendapat bahawa talaq itu jatuh menjadi talaq tiga dan berlakulah hukum-hukum talaq tiga sebagaimana yang tersebut di atas tadi.
3.      Cara yang ketiga  suami menjatuhkan talaq seperti katanya: “saya talaq awak dengan tiga talaq,” atau katanya: “saya talaq awak, saya talaq awak, saya talaq awak,”  dengan cara diulang-ulang perkataan tersebut berturut-turut tiga kali.
14)    BEBERAPA PENDAPAT ULAMA MENGENAI CARA DI ATAS
1.     Jatuh talaq tiga dan berlakulah hukum-hukum talaq tiga padanya.
2.     Tidak jatuh talaq sama sekali, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Ertinya : Sesiapa yang mengerjakan sesuatu pekerjaan yang tidak menurut perintah kami maka pekerjaan itu ditolak.
(Riwayat : Muslim)
Talaq tiga bukan perintah Rasulullah malah dilarang oleh baginda.  Talaq tiga  cara di atas  adalah ditolak sama sekali, maksudnya tidak sah.
3.     Jatuh  talaq satu maka berlakulah hukum talaq satu padanya, bererti suami masih boleh  rujuk semula selama isteri tersebut masih dalam idah atau boleh berkahwin semula jika telah selesai idahnya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Ertinya : Dari  Ibnu Abbas sesungguhnya Raqanah telah menjatuhkan talaq ke atas isterinya dengan talaq tiga pada tempat yang satu kemudian beliau mereka terlalu sedih terhadap perceraian itu maka Nabi SAW bertanya kepadanya, kata baginda: bagaimana cara engkau mengugurkan talaq itu? Jawab Raqanah “talaq tiga pada satu masa (sekali gus) kemudian Rasulullah SAW bersabda: sesungguhnya talaq yang demikian itu talaq satu maka rujuklah dia.”
(Akrajah Ahmad dan Yali Wasahih)
15)    ISTISNA’ DALAM TALAQ
Istisna’ ertinya : mengurangkan maksud perkataan yang telah terdahulu dengan perkataan  yang kemudian.
Istisna’ dalam kalimah talaq hukumnya sah dengan syarat-syarat yang berikut :
1.      Berhubung perkataan yang pertama dengan kedua, tidak diselangi perkataan asing yang tidak bersangkut paut dengan talaq atau diam yang lama lebih dari sekadar bernafas.
2.      Kalimah yang kedua tidak menghabisi maksud kalimah yang pertama, misalnya : suami berkata kepada isteri: “engkau tertalaq tiga melainkan satu gugur atau jatuh dua talaq, tetapi kalau ia berkata: “engkau tertalaq tiga melainkan tiga” hukumnya gugur talaq tiga, kerana kalimah yang kedua iaitu perkataan “melainkan tiga” menghabisi maksud kalimah pertama iaitu “engkau talaq tiga”.
16)    TA’LIQ TALAQ
Ertinya talaq yang digantung atau dikaitkan dengan sesuatu yang lain, andainya sesuatu yang lain, andainya sesuatu itu  diperolehi atau dilakukan maka gugurlah talaq tersebut, misalnya suami berkata kepada isteri: “kalau awak  keluar dari rumah ini tanpa mendapat kebenaran dariku maka gugurlah talaq awak,” atau sekiranya awak balik ke rumah ibu bapa awak maka gugurlah talaq awak dan sebagainya.
17)    BEBERAPA CONTOH TALAQ TA’LIQ YANG LAIN
Oleh kerana talaq yang dita’liqkan itu ada kalanya dita’liq dengan sesuatu waktu, syarat dan dengan perkara yang mustahil, di bawah ini dinyatakan contoh-contoh dan hukum-hukum ta’liq tersebut:
1.  Ta’liq dengan suatu waktu contohnya, suami berkata kepada isterinya: awak tertalaq pada bulan sekian (syawal dan sebagainya) atau pada awal bulan sekian (syawal dan sebagainya) atau pada awal bulan sekian, dengan  kata-kata yang demikian gugurlah talaq isterinya pada awal juz malam pertama dari bulan tersebut.  Ertinya pada malam satu haribulan sebaik sahaja ghurub matahari tiga puluh haribulan bagi bulan yang sebelumnya.  Sekiranya suami berkata kepada isterinya:”awak pada hari pertama dari  bulan syawal, maka gugurlah talaq tersebut bermula dari terbit fajar (al-sidiq) pada hari pertama itu”,  dan  kalau talaq itu dita’liqkan dengan akhir bulan, maka  gugurlah talaq itu di akhir juz dari bulan tersebut ghurub matahari akhir bulan tersebut, kalau dita’liqkan pada  pertengahan bulan, gugur talaq bila ghurub matahari pada  hari yang kelima belas dari bulan tersebut.
2.  Ta’liq dengan sesuatu syarat contohnya: suami berkata kepada isteri: kalau awak masuk rumah itu maka awak tertalaq” – gugur ta’laq apabila isteri memasukki rumah itu.
3.  Ta’liq dengan sesuatu yang mustahil akan berlaku pada adat contohnya, kata suami kepada isteri:  “awak tertalaq kalau awak naik ke langit”,  atau dita’liq dengan sesuatu yang mustahil pada akal, seperti kata suami: “awak tertalaq sekiranya awak boleh ketawa dan menangi serentak pada satu ketika”.  Cara ini tidaklah gugur talaq isteri tersebut, kerana talaq itu dita’liqkan  dengan sesuatu yang mustahil akan berlaku.
18)    ORANG YANG TIDAK SAH MENGUGURKAN TALAQ
1.     Budak.
2.     Orang gila.
3.     Orang yang tidur.
Sabda Rasulullah SAW :
Ertinya : Perbuatan tiga orang ini adalah tidak sah:
1.     Budak sehingga baligh.
2.     Orang gila sehingga sembuh gilanya.
3.     Orang yang tidur sehingga terjaga dari tidurnya.
Adapun talaq orang gila yang gilanya itu berpunca dari mabuk yang dibuatnya sendiri dengan sengaja memakan atau meminum  minuman yang memabukkan adalah sah talaqnya.
4.   Orang yang dipaksa supaya menceraikan isterinya, talaqnya tidak sah, kerana sabda Rasulullah SAW:
Ertinya :  Tidak sah talaq pada paksaan.
(Riwayat Abu Daud dan Hakim)
19)    BEBERAPA MASALAH
1.   Sekiranya lahir tanda-tanda yang menunjukkan bahawa yang dipaksa mengugurkan talaq isterinya dengan  kemahuan  atau pilihan sendiri maka gugurlah talaq isterinya itu, seperti suami itu dipaksa mengugurkan talaq tiga, tetapi dia mengugurkan talaq  satu sahaja.
2.   Sekiranya yang memaksa berkata : ceraikan isteri awak, kalau tidak saya akan bunuh awak besok hari, maka gugurlah talaq isterinya, kerana ugutan itu tidak dilaksanakan dengan segera dan serta merta.
3.   Jika waris bagi yang dibunuh berkata kepada pembunuh: ceraikan isteri awak, kalau tidak saya bunuh awak, tiba-tiba diceraikannya, maka gugurlah talaq isterinya itu, kerana  yang memaksa itu tidak dianggap seorang yang zalim, kerana ianya berhak menuntut bela berhadap pembunuh.

 TELISIK, SKHK dan PPKP Penyuluh Agama 2023  Juli 07, 2023 Standar Kualitas Hasil Kerja dan Pedoman Penilaian Kinerja Penyuluh Agama merupak...